Wednesday, 5 October 2011

Golongan berpendapatan rendah harap kenaikan gaji, subsidi imbangi keadaan ekonomi semasa

Golongan berpendapatan rendah harap kenaikan gaji, subsidi imbangi keadaan ekonomi semasa

KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2012 yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, esok diharap turut memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dan buruh menerusi pemberian lebih banyak insentif bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Belanjawan kali ini juga diharap lebih inklusif dan mesra rakyat dengan mengambil kira kenaikan harga barangan serta kenaikan gaji bagi mengimbangi keadaan ekonomi semasa.
Pekebun kecil kelapa di Bagan Datoh, Perak, Che Ros Osman, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan semula pemberian subsidi jualan kelapa bulat seperti dinikmati pekebun kecil dua tahun lalu bagi meningkatkan produktiviti.

“Saya merayu kerajaan memberi semula subsidi jualan kelapa bulat sebanyak lapan sen sekilogram seperti sebelum ini,” katanya.

Kerajaan juga diharap dapat menambah subsidi jualan padi dari RM284 satu tan kepada RM500 satu tan bagi mengimbangi pendapatan petani dengan kos pengendalian sawah yang dikatakan semakin meningkat pada masa ini.

Ayob Muhammad, berharap belanjawan kali ini dapat memberi lebih peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah mampu milik seperti yang diharapkan oleh kerajaan.
“Kebanyakan kami berpendapatan RM1,000 ke bawah, kemampuan kami terbatas dan sukar untuk mendapatkan pinjaman membeli rumah,” kata penjual ikan dari Kuantan itu.

Bagi Chong Tshen Vui, yang mewakili masyarakat Sabah berharap kerajaan tidak meminggirkan rakyat negeri itu daripada arus perdana negara terutama bagi berdepan peningkatan kos hidup begitu ketara pada masa sekarang.

Peniaga kuih tradisional di Kota Bharu, Kelantan, Norizan Ismail pula berharap Perdana Menteri akan melaksanakan penyelarasan pencen kakitangan kerajaan dan swasta bagi menjamin keadilan.

“Suami saya dulu kerani di Lembaga Padi Beras Nasional (LPN), namun ditukar menjadi syarikat swasta (BERNAS) dan ini menyebabkan suami hanya menerima pencen RM300 dan bukannya RM600,” katanya.













No comments: